You are on page 1of 2

Cahaya Matahari Di Dalam Kejuruteraan Elektrik (Sempena Kehadiran Solar Power Trainer System Di Makmal Sistem Kuasa) Pendahuluan

Elemen tenaga memainkan peranan penting di dalam kehidupan manusia. Tenaga berperanan di dalam pelbagai bidang; seperti pembentukkan teknologi baru,serta mempengaruhi keadaan ekonomi sesebuah Negara. Mengikut sejarah, manusia sanggup berperang disebabkan ingin menguasai sumber tenaga. Sebagai contoh bagi melihat kepentingan tenaga kepada negara, di dalam pembentangan Rancangan Malaysia ke 10, Perdana Menteri Malaysia telah mencadangkan satu polisi tenaga baru (New Energy Policy) Malaysia. Di dalam polisi ini, pembangunan yang strategik bagi tenaga diperbaharui akan ditingkatkan dan sumber tenaga negara tidak terlalu bergantung kepada petroleum sahaja. Sumber tenaga tidak tertumpu kepada petroleum semata mata, malah ia boleh diperolehi melalui angin, ombak, air terjun dan cahaya matahari. Tenaga bersumberkan cahaya matahari Ramai yang mengetahui bahawa cahaya matahari amat penting kepada tumbuhan sebagai satu elemen untuk menghasilkan makanan (proses fotosintesis) dan kepada manusia, ia boleh membekalkan vitamin D dengan cara mendedahkan kulit dengan cahaya matahari pada waktu pagi serta menandakan pertukaran waktu siang dan malam. Sebenarnya fungsinya tidak terhad kepada keperluan itu sahaja, cahaya matahari juga merupakan sumber tenaga yang boleh diperbaharui dan dapat menghasilkan tenaga elektrik secara percuma! Pengenalan Teknologi Sel Solar Teknologi ini sebenarnya telah lama digunakan oleh manusia, sebagai contoh, satelit Malaysia, Razaksat, mempunyai sel solar padanya sebagai sumber penghasilan elektrik. Mungkin juga kita pernah lihat ia digunakan pada mesin pembayaran meletak kenderaan secara automatik dan lampu isyarat kuning di selekoh di kawasan pendalaman. Sebenarnya teknologi ini telah lama diperkenalkan tetapi penggunaannya masih belum meluas, terutama di Malaysia. Cahaya matahari amat bernilai kepada kita. Ia merupakan sumber yang tidak memerlukan bayaran untuk menggunakannya dan ia mudah diperolehi. Berbanding sumber bekalan kuasa hari ini, kita perlu membayar kepada pihak utiliti iaitu TNB sebagai satu kos perkhidmatan. Kos ini akan meningkat jika harga petroleum dan arang batu meningkat kerana dua tenaga ini merupakan sumber utama menjana tenaga elektrik negara. Pada kebiasaan, apabila kos atau lebih tepat takrif elektrik meningkat, ia sukar diturunkan semula. Jika dibandingkan dengan cahaya matahari, ia percuma. Cuba bayangkan, jika semua barangan elektrik yang digunakan bersumberkan dari sumber yang percuma pasti ia amat menguntungkan bukan?. Tetapi, adakah ianya logik untuk difikirkan dan direalisasikan? Sebenarnya ia amat logik! Pada hari cuaca baik, cahaya matahari dapat memberi tenaga sehingga 1000 watt kuasa per meter persegi pada permukaan bumi. Jika seorang jurutera elektrik dapat memperolehi kesemua nilai watt tersebut pastinya semua penggunaan yang melibatkan elektrik dapat digunakan secara percuma. Ia sangat berbaloi! Kendalian Sel Solar Sel solar dikenali sebagai sel photovoltaic. Istilah photovoltaic berasal dari gabungan dua patah perkataan iaitu photo bermaksud cahaya dan voltaic bermaksud elektrik. Daripada maksud gabungan ini, kita dapat mengetahui bahawa sel solar berfungsi apabila ada kehadiran cahaya matahari dan menukarkan ia kepada tenaga elektrik. Satu kumpulan sel solar di dalam satu frame dipanggil modul atau juga dikenali sebagai solar panel. Dan gabungan solar solar panel pula dipanggil sebagai solar array. Komponen photovoltaic ini merupakan salah satu jenis komponen semikonduktor. Persoalan yang utama, bagaimanakah elektrik boleh terhasil daripada cahaya matahari? Secara ringkas, apabila cahaya mengenai sel, tenaga daripada cahaya akan diresapi (berpindah) oleh bahan semikonduktor. Tenaga ini akan memecahkan rangkaian electron pada semikonduktor dan menyebabkan ikatan elektron akan terputus dan elektron akan bergerak bebas. Di dalam sel PV juga terdapat satu atau lebih medan elektrik yang berfungsi sebagai satu tenaga yang memaksa elektron yang bebas bergerak tadi ditetapkan untuk bergerak kepada satu arah tertentu. Arah aliran elektron ini dipanggil sebagai arus. Dengan meletakkan penyambung besi pada atas dan bawah sel tersebut, kita dapat mengalirkan keluar arus tersebut. Kesan Aplikasi Sistem Solar Pengunaan teknologi solar ini sedang berkembang pesat di dunia. Aplikasi penggunaan teknologi solar bukan sahaja memberi kesan kepada perkembangan kejuruteraan tetapi juga memberi kesan yang cukup besar dari segi ekonomi dan sosial sesebuah negara. Sebagai contoh, pada 3 Julai 2010, kerajaan Amerika di bawah Presiden Barack Obama telah meluluskan jaminan pinjaman sebanyak hampir USD 2bn (~RM7.6bn) kepada dua syarikat untuk memulakan industri tenaga solar Amerika. Sumber wang pinjaman ini pula daripada pakej rangsangan ekonomi negara berkenaan bagi mengatasi kemelesetan ekonomi. Projek ini dijangka membina satu kawasan pusat janakuasa solar berkeluasan 1900 ekar dengan penghasilan keluaran berkapasiti 280 MW. Projek mega ini telah memberi kesan kepada ekonomi dan sosial dengan pengwujudan lebih 5000 peluang pekerjaan dan dapat menjana tenaga 70000 buah rumah di Arizona. Kesan ke atas alam sekitar pula, ia dapat mengurangkan pengeluaran karbon dioksida. Ini bermakna, pengetahuan teknologi

solar telah memberi kesan yang sangat meluas dari semua aspek kehidupan dan memberi kesan kepada budaya serta cara hidup manusia. Aplikasi dan Penggunaan Sistem Solar Di Malaysia, teknologi ini sangat baru. Penggunaannya masih kurang digunakan walaupun terdapat beberapa aplikasi menggunakannya. Anehnya, kawasan rumah panjang di pendalaman Sarawak telah menggunakan tenaga solar ini berbanding kawasan bandar! Sudah tiba masanya negara kita menggunakan secara meluas. Sebagai permulaan, teknologi ini boleh mula diaplikasikan dalam sektor pembinaan perumahan. Di dalam sektor ini, sistem solar juga sudah digunakan tetapi hanya tertumpu kepada penghasilan air panas kepada pengguna. Sistem ini amat berbaloi kerana penjimatan dari segi penggunaan tenaga elektrik. Seharusnya penggunaan solar ini perlu dikembangkan dalam penghasilan tenaga elektrik. Dengan mengambil contoh kepada negara di Eropah, walaupun secara geografinya, mereka tidak menerima cahaya matahari sepanjang tahun (negara empat musim), mereka masih menggunakan tenaga solar ini. Berbanding negara kita yang sepatutnya dari awal lagi menggunakan teknologi solar ini kerana kedudukan negara kita di garisan khatulistiwa dan menerima cahaya matahari sepanjang tahun. Terdapat dua kelebihan penggunaan teknologi ini pada sektor pembinaan perumahan. Pertama, penjimatan ketara dari segi penggunaan tenaga elektrik. Keperluan tenaga elektrik sangat tinggi di dalam pengoperasian sesebuah perumahan dari penggunaan sistem pendingin hawa sehingga menghidupkan sebiji lampu. Jika tenaga ini dapat diperolehi secara percuma, kos pembelian tenaga yang digunakan itu mungkin dapat dialihkan kepada penyelenggaraan rumah. Kedua, penjimatan kos pembayaran pergunaan elektrik. Oleh kerana teknologi ini masih baru digunakan di negara kita, harga pembelian dan pemasangan peralatan teknologi ini sangat mahal. Pastinya kos pembinaan perumahan juga meningkat. Keadaan kesan kos ini hanyalah jangka pendek sahaja tetapi jika di hitung dari kos jangka masa panjang, ia pasti menjimatkan kerana kos penggunaan tenaga elektrik tiada. Teknologi yang baru diperkenalkan pastinya mahal. Jika diimbas sejarah teknologi telefon bimbit pada tahun 90an dahulu,telefon yang hanya boleh membuat panggilan dan pesanan ringkas serta paparannya tidak berwarna harganya mencecah sehingga ribuan ringgit. Kini, setelah penggunaan meluas, dan penghasilan produk yang besar (mass - production), harga telefon berkenaan turun sehingga di bawah RM 100! Ketika ini, harga teknologi solar telah menurun jika dibandingkan harga tahun lepas. Pemasangan Sistem Solar Perumahan. Bagi sistem solar yang mahu di pasang pada perumahan, terdapat satu masalah yang utama iaitu tiada pancaran matahari. Ini masalah terbesar pada sistem ini kerana manusia tidak boleh mengawal keadaan cuaca tetapi hanya boleh meramalkan perubahannya sahaja. Pengguna pula memerlukan sistem elektrik yang stabil dan sentiasa ada. Ini cabaran terbesar yang perlu di atasi. Terdapat tiga cara bagi menyelesaikan masalah ini. Pertama, memasang sistem ini bersama sama set generator. Set ini dihidupkan apabila bekalan yang dibekalkan tidak mencukupi. Kedua, sistem ini dipasang dengan penambahan alat yang boleh menyimpan bekalan kuasa iaitu bateri. Secara kendalian, sistem solar akan membekalkan tenaga elektrik kepada pengguna dan pada masa yang sama, ia akan menyimpan tenaga elektrik. Apabila tiada cahaya dan bekalan tenaga elektrik menurun, tenaga elektrik dari bateri akan menampung penurunan tersebut. Penyelesaian yang ketiga, memasang sistem ini bersama sama dengan sistem bekalan tenaga dari pihak penyedia utiliti iaitu TNB. Sistem solar merupakan sistem utama dan tenaga elektrik dari TNB hanya digunakan apabila perlu sahaja. Kita membeli tenaga elektrik apabila keadaan yang tertentu sahaja. Tiga kaedah ini merupakan cara penyelesaian yang terbaik. Walau bagaimanapun, timbul pula isu dari segi kelemahan penyelesaiannya. Kelemahan penyelesaian pertama memerlukan set generator dan memerlukan petrol untuk menghidupkannya. Petrol terpaksa di beli dan pengguna berdepan masalah penyimpanan kerana petrol merupakan bahan yang mudah meruap dan terbakar. Oleh sebab itu, penyimpanan yang sempurna diperlukan. Kelemahan penyelesaian kedua pula, masalah dari segi bateri perlu diselenggara dengan baik dan perlu ditukar mengikut tempoh tertentu. Pengguna juga memerlukan tempat penyimpanan yang besar kerana bateri yang dipasang perlu banyak jika ingin tempoh penggunaan yang lama. Penyelesaikan ketiga, tidak mempunyai banyak masalah jika menggunakannya tetapi permasalah yang timbul, bagaimanakah kedua dua sistem ini dapat dijalankan dengan serentak? Berdasarkan penyelesaian yang diterangkan, hanya menyelesaikan satu permasalahan sahaja. Terdapat banyak perkara yang perlu diambil kira bagi memastikan sistem solar yang di pasang adalah terbaik dan dapat digunakan secara optimum. Sebagai contoh, beberapa aspek permasalahan yang perlu di ambil kira iaitu dari aspek keselamatan penggunaan, aspek penyelenggaraan dan aspek penyimpanan tenaga serta aspek tenaga yang dihasilkan bersesuaian dengan alatan yang digunakan. Aspek aspek ini memerlukan satu tajuk yang khusus untuk perbincangan. Kesimpulan Sesungguhnya cahaya matahari mempunyai kesan yang besar di dalam perkembangan kejuruteraan elektrik. Namun aplikasinya, menghasilkan sebuah sistem solar yang apabila dikembangkan penggunaannya, ia akan memberi impak yang besar kepada segala aspek kehidupan manusia. Ini membuktikan bahawa ilmu manusia sangat luas dan memerlukan akal untuk mencarinya. Sebagai permulaan, kepada yang membaca artikel ini, dijemput mempelajari dan menggunakan alat SOLAR POWER TRAINER SYSTEM di Makmal Sistem Kuasa bagi mengetahui dan merasai aplikasi sistem solar.

You might also like