You are on page 1of 3

You are here: >> Archival News

Hidupkan semula kempen Perpustakaan Keluarga


Down

Date: 21-03-2005
Author: MOKHTAR YUSOF
KEBANYAKAN keluarga mempunyai bahan bacaan yang dibeli atau
diperoleh secara percuma lalu disimpan secara sendiri di mana kadang-
kadangnya disusunkan sahaja di dalam sebuah almari berserta dengan
benda-benda lain seperti pinggan mangkuk, trofi, bakul telur dan
sebagainya.

Segala bahan bacaan tadi jika dikumpulkan dan disusun dengan sempurna
boleh dimanfaatkan oleh seluruh ahli keluarga. Malahan saudara-mara, jiran
dan sahabat handai juga boleh meminjam dan menggunakannya.

Sebuah almari kecil atau rak yang diubahsuai di mana di dalamnya


tersimpan pelbagai jenis bahan bacaan secara automatiknya sudah boleh
dianggap sebagai sudut bacaan keluarga.

Sudut atau perpustakaan keluarga ini bukan sahaja boleh menyemai tabiat
suka membaca di kalangan keluarga bahkan dapat mengeratkan silaturahim
di kalangan ahli keluarga.

Mantan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pernah


menyebut, sudut perpustakaan keluarga adalah ruang, sudut ataupun bilik
bagi menempatkan bahan bacaan, rujukan serta bahan elektronik seperti
komputer, televisyen alat rakaman kasut atau video yang mengandungi
maklumat serta pengetahuan yang boleh dijadikan khazanah ilmu terkumpul
untuk dimanfaatkan oleh seisi keluarga.

Menurutnya juga, bahan-bahan yang boleh ditempatkan di sini ialah bahan


rujukan seperti kamus atlas, ensiklopedia, buku manual kereta, buku resipi,
buku panduan telefon dan sebagainya.

Buku kecil Perpustakaan Keluarga yang diterbitkan oleh Bahagian Teknologi


Pendidikan (BTP) Kementerian Pelajaran (1989) pula menyebut, "konsep
perpustakaan itu bukanlah tempat yang perlu wujud di sesebuah bangunan
sekolah ataupun di sesebuah perpustakaan awam sahaja, bahkan
perpustakaan itu perlu juga ke satu ruang di setiap rumah.''

Sebuah lagi buku kecil Pembacaan dan Perpustakaan Keluarga yang


diterbitkan oleh Majlis Kemajuan Buku Malaysia (1991) pula menyebut
"perpustakaan keluarga boleh dijadikan saluran yang berkesan untuk
menerapkan minat membaca di kalangan ahli keluarga.''

"Perpustakaan keluarga ialah bilik, ruang ataupun sudut di rumah yang telah
dipilih khas untuk ditempatkan bahan-bahan bacaan yang disusun dengan
rapi.''

Menanam dan menyemai semangat membaca di kalangan anak-anak


sebenarnya perlu bermula dari rumah.

Untuk menyemai budaya suka membaca, ibu bapa dan keluarga harus
memainkan peranan memastikan hobi dan tabiat membaca anak-anak
mereka terhadap pembacaan adalah kekal dari mula mereka mengenal apa
itu buku sehingga dewasa.

Anak-anak akan merasa senang berjinak dengan buku sekiranya melihat ahli
keluarga terutamanya ibu dan bapa mereka membaca di rumah pada masa
lapang.

Jadi, dengan adanya sudut atau perpustakaan keluarga akan memudahkan


seisi keluarga paling tidaknya sekali dalam seminggu duduk sama-sama
membaca dan menceritakan berhubung keseronokan bahan yang dibaca.

Amalan pembacaan di kalangan ibu bapa dengan sendirinya akan dicontohi


oleh anak-anak serta membiasakan mereka menghormati dan menjadikan
buku sebagai rakan karib mereka.

Konsep perpustakaan keluarga ataupun koleksi keluarga ini bukanlah


sesuatu yang baru di dalam masyarakat kita. Pihak Majlis Buku Kebangsaan
Malaysia (MBKM) sendiri pernah melancarkan projek Perpustakaan Di
Rumah pada 1986.

Pihak kerajaan sendiri sejak 1988 telah melancarkan Kempen Gerakan


Membaca dengan hasrat menjadikan tabiat membaca sebagai satu budaya
di kalangan rakyat.

Pada setiap kalinya berlangsung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur


dan Bulan Membaca Kebangsaan (Julai) konsep dan kempen mewujudkan
perpustakaan keluarga semakin dikumandangkan agar dapat dipupuk dan
dikembangsuburkan minat membaca di kalangan kanak-kanak.

Perpustakaan Negara Malaysia sendiri telah diberikan peruntukan sebanyak


RM140,000 untuk diagih-agihkan kepada 14 buah perpustakaan awam
setiap negeri bagi menganjurkan Pertandingan Perpustakaan Keluarga
(PPK) bersempena Bulan Membaca sejak 2001 lalu.

Matlamat utama PPK ini semata-mata mahu menggalakkan ibu bapa


menubuhkan perpustakaan keluarga di rumah.

PPK ini lebih difokuskan kepada masyarakat luar bandar dengan tujuan
untuk menjayakan hasrat kerajaan membantu meningkatkan masyarakat
berilmu (K-Society). Pertandingan yang sama dibahagikan kepada dua
kategori iaitu rumah kampung, desa dan taman perumahan.

Bagi pertandingan 2001 itu, sebanyak 15 keluarga dari seluruh negara telah
menyertainya. Difahamkan, pada tiga tahun berikutnya pertandingan yang
sama telah ditiadakan di mana tidak pula diketahui mengapakah PNM
khasnya dan perpustakaan awam negeri amnya menghentikannya.

Pada ketika itu (2001) dilaporkan setiap perpustakaan awam negeri diberi
peruntukan oleh PNM sebanyak RM10,000 bagi empat siri pertandingan
(sehingga 2004) tetapi telah tidak diteruskan tanpa sebarang sebab yang
jelas.

Dalam konteks menghidupkan semula kempen perpustakaan keluarga itu


tadi, elok juga pertandingan yang serupa baik di peringkat daerah, negeri
dan kebangsaan diteruskan.
Pihak perpustakaan awam negeri pula patut memainkan peranan yang lebih
agresif agar lebih banyak keluarga di luar-luar bandar lebih terdorong
untuk
mewujudkan perpustakaan di rumah masing-masing.

Apabila diadakan pemilihan untuk mewakili negeri ke peringkat kebangsaan,


biarlah ia benar-benar telus dan jangan terjadi seperti pada 2001 lalu, ada
wakil yang dipilih secara tangkap muat dan kakitangan perpustakaan awam
sendiri!

(Source : Utusan Malaysia)


Up

You might also like