You are on page 1of 5

Nilai-nilai universal tamadun

Nilai seringkali disinonimkan dengan perkataan mutu, darjah atau sifat ketinggian.
Manakala nilai universal pula ditakrifkan sebagai suatu nilai yang relevan untuk
digunakan pada setiap masa dan situasi untuk kebaikan sesebuah masyarakat.
Terdapat sembilan aspek persamaan nilai antara satu tamadun dengan satu tamadun
yang lain iaitu; aspek kepercayaan, kebendaan, etika, keilmuan, kemanusiaan, akhlak,
alam sekitar, kekeluargaan dan keadilan.
Dari segi kepercayaan, agama sememangnya memainkan peranan yang penting dalam
sesuatu tamadun. Ini kerana kepercayaan masyarakat terhadap konsep ketuhanan
menyebabkan berlakunya proses pemantapan stratifikasi sosial dan intelektual
tamadun tersebut. Malah, melalui kepercayaan yang berasaskan kebudayaan mahupun
samawi ini, wujud bidang kesenian dan sains. Tamadun Islam pula mementingkan
aspek kerohanian dan ketuhanan bersumberkan wahyu dan hadis. Agama berfungsi
sebagai sumber tenaga, fikiran dan penggerak kepada sesebuah tamadun yang
dinamik.

Etika pekerjaan atau budaya dalam pekerjaan. Masyarakat Barat lebih mementingkan
keuntungan dari aspek materialistik dan meremehkan nilai kerja. Begitu juga negara
Korea dan Jepun yang mempraktiskan disiplin dan etika dalam pekerjaan bertepatan
dengan ajaran Islam namun tujuan akhirnya masih terarah kepada keuntungan dunia.
Agama Islam menggariskan bahawa etika kerja perlulah seiring dengan tuntutan syariat
supaya mendapat keberkatan daripada Allah s.w.t. Ini kerana pencarian rezeki secara
halal merupakan suatu ibadah dan amalan yang mulia.
Aspek kebendaan atau materialistik merupakan matlamat utama pada sesetengah
tamadun antaranya Barat sehingga mereka membolehkan apa saja cara bagi
memperoleh keuntungan. Hal ini berlainan dengan agama Islam di mana semua
perkara perlu diambil kira halal dan haramnya demi meraih keredhaan Allah s.w.t.
Manusia berfungsi memegang amanah yang diberikan dan hanya Allah pemilik mutlak
segala sesuatu.

Nilai kemanusiaan mementingkan penghormatan terhadap hak-hak asasi manusia. Nilai
ini wujud apabila sesebuah komuniti masyarakat itu memahami hakikat kejadian
manusia secara total. Nilai kemanusiaan dalam Islam harus dipupuk atas dasar
masyarakat yang meletakkan nilai kemanusiaan pada tahap yang tinggi seperti
mengamalkan sifat bertimbang rasa, berlemah lembut, saling berkasih sayang, adil dan
saksama serta pelbagai lagi sifat-sifat yang mulia.

Semua tamadun memerlukan ilmu pengetahuan bagi membangunkan sesebuah
tamadun. Bangsa yang berkebolehan dalam menerokai dan menguasai semua cabang
ilmu pengetahuan akan dapat mewujudkan sebuah tamadun yang gemilang.
Kepentingan ilmu telah dirakamkan di dalam surah pertama yang diturunkan kepada
Nabi Muhammad s.a.w. iaitu surah al-Alaq ayat 1 hingga 5. Umat Islam mempunyai
kewajipan dalam menuntut ilmu untuk mencapai kemajuan dan kejayaan di dunia dan
akhirat. Umat Islam turut diibaratkan sebagai ummah wasatan kerana mereka
mempunyai kemampuan membangun dunia ini dengan ilmu yang mereka pelajari.
Seterusnya, dengan adanya nilai akhlak yang baik, ini dapat melahirkan manusia yang
berpekerti tinggi serta beretika dalam kehidupannya. Kehidupan manusia yang tidak
mengamalkan akhlak yang mulia akan menjadi huru-hara serta mementingkan
keuntungan diri sendiri. Perutusan Rasulullah sebagai nabi yang terakhir adalah untuk
menyempurnakan akhlak manusia sebagaimana yang telah termaktub dalam hadis
baginda-(Riwayat Bukhari). Agama Islam bersifat syumul (lengkap) iaitu termasuklah
mengenai hubungan manusia dengan Allah s.w.t (habluminAllah),dan hubungan
manusia sesama manusia (habluminannas) dan makhluk-makhluk lain serta alam
sekitar.

Keadilan pula berfungsi bagi mewujudkan keamanan dalam sesebuah tamadun.
Sebuah kerajaan yang adil dalam aspek sosial pemerintahannya akan membahagikan
kekayaan negara dengan saksama kepada rakyatnya, dengan cara mengurangkan
pemonopolian golongan kaya dan meningkatkan pendapatan golongan miskin untuk
merapatkan jurang perbezaan kekayaan antara kedua-dua golongan ini. Apabila
seseorang pemerintah atau sesebuah kerajaan tidak lagi berlaku adil terhadap
rakyatnya dengan berlaku zalim dan mengabaikan hak-hak rakyat, maka runtuhlah
tamadun tersebut.

Menurut Malik bin Nabi, untuk membina sebuah tamadun, bermula dengan pembinaan
masyarakat yang tinggi peradabannya. Justeru, langkah pertama ke arah masyarakat
yang berperadaban ialah melalui pembentukkan institusi keluarga. Confucius
mengatakan bahawa kesetiaan dan pertalian yang erat merupakan konsep
kekeluargaan yang terpenting. Pengabaian konsep ini bermakna telah berlaku penafian
hak terhadap seseorang dan perkara ini adalah bertentangan dengan prinsip keadilan.
Konsep kekeluargaan dalam Islam pula adalah berteraskan rasa saling hormat-
menghormati dan sifat berkasih sayang sesama manusia. Ini bermakna kedudukan
wanita dan lelaki bukanlah menjadi persoalan utama, tetapi setiap mereka mestilah
menjalankan tanggungjawab masing-masing menurut perintah Allah s.w.t.

Akhir sekali, pemeliharaan alam sekitar. Ia merupakan satu prinsip yang diterima pakai
oleh semua agama di dunia ini kerana alam sekitar dianggap sebagai anugerah tuhan
kepada manusia seluruhnya. Dalam konteks Islam, tugas manusia sebagai khalifah
Allah mempunyai kewajipan untuk memelihara alam ini dari sebarang kerosakan dan
eksploitasi manusia. Agama-agama lain juga turut mementingkan penekanan aspek ini,
sehingga wujud sesetengah tamadun yang memelihara dan menyembahnya dan
menganggap alam sekitar sebagai Divine Power.





RUJUKAN

1. CTU 151: Pemikiran danTamadun Islam, Bab 2-
Nilai-nilai universal dalam tamadun Islam (Maruwiah
Ahmat)
2. Azhar Mad Aros et al. (2002), Tamadun Islam dan Tamadun
Asia, Kertas 1, Shah Alam, Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd.
3. Azam Hamzah (2006), Sumbangan Tamadun Islam kepada Peradaban Dunia,
Shah Alam; Pusat Penerbitan Universiti (UPENA).

You might also like