You are on page 1of 12

MELESTARIKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA UNDANG-

UNDANG DI MALAYSIA

by

SHAIKH MOHAMED NOORDIN

[2010] 1 LNS(A) iv

MALAYSIA

Pengenalan

Usaha-usaha memartabat dan melestarikan Bahasa Melayu didalam bidang perundangan dan
kehakiman sudah lama bermula sejak awal tahun enam puluhan. Walau bagaimanapun
peningkatan trend penggunaan Bahasa Melayu dikalangan peguam hanya nampak ketara sejak
lima tahun kebelakangan ini. Para peguam masih lagi menghadapi sedikit kesukaran dari segi
penggunaan istilah, tatabahasa dan terjemahan seperti mana yang pernah dinyatakan oleh
Pengerusi Jawatankuasa Bahasa Melayu Majlis Peguam Malaysia Muhammad Hasif Hassan
tidak beberapa lama dulu[1].

Hampir 80 peratus daripada 13,000 peguam di negara ini kini menggunakan Bahasa Melayu
ketika mengendalikan kes-kes mereka di mahkamah. Menurut Muhammad Hasif, Majlis Peguam
Malaysia akan terus bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mengadakan
kursus Bahasa Melayu bagi meningkatkan kemahiran dan memberi ruang kepada peguam
mempelajari istilah, tatabahasa dan laras bahasa dengan betul supaya penghujahan kes di
mahkamah dapat berjalan dengan lebih fasih dan lancar.

Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa perundangan dan kehakiman sering menjadi tajuk
perbincangan dikalangan pengamal undang-undang sejak sekian lama[2]. Bagaimanapun baru-
baru ini isu penggunaan Bahasa Melayu kembali hangat diperkatakan apabila Mahkamah
Rayuan memutuskan bahawa para peguam perlu terikat dengan ketetapan menggunakan Bahasa
Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu dalam prosiding mahkamah.

Pada 10 Oktober 2009, Hakim Abdul Malik, yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Azhar
Ma'ah dan Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad telah menolak rayuan kes Datuk Seri
Anwar dalam saman fitnah RM100 juta terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad atas alasan memorandum rayuan yang difailkan Datuk Seri Anwar dalam Bahasa
Inggeris itu adalah cacat, tidak sah dan mencabuli proses mahkamah[3].

Ketiga-tiga Hakim tersebut membuat keputusan ini berdasarkan Perkara 152 (Seksyen 8 Akta
Bahasa Kebangsaan) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 110 Kaedah-Kaedah Mahkamah
Rayuan 1994. Ini bermakna Bahasa kebangsaan mesti digunakan bukan sahaja semasa prosiding
tetapi juga dalam memfailkan dokumen-dokumen mahkamah.
Menurut Hakim Abdul Malik Ishak, "keutamaan Bahasa Kebangsaan atau Bahasa Melayu
dalam mahkamah kita tidak boleh dinafikan lagi. Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan,
dibaca bersama-sama Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan menetapkan semua prosiding, selain
daripada memberi keterangan oleh seorang saksi, di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah
Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah mesti dalam Bahasa Kebangsaan. Kaedah
101, Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994 menetapkan dokumen-dokumen perlu dalam
Bahasa Kebangsaan. Oleh itu, kegagalan dipihak perayu untuk memfailkan memorandum
rayuan dalam Bahasa Malaysia menyebabkan rekod rayuan yang difailkan oleh perayu tidak
boleh digunakan".

Salah seorang peguam yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim, Sankara Nair, bagaimanapun
mendakwa Mahkamah Rayuan bersikap berat sebelah kerana menolak kes anak guamannya
semata-mata kerana kesalahan menggunakan kertas prosiding dalam Bahasa Inggeris. Sankara
membangkitkan rasa tidak puas hati tentang keputusan Mahkamah Rayuan itu sebagai respon
kepada keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang tidak menolak prosiding Big Scope
walaupun kertas prosiding kes tersebut juga menggunakan Bahasa Inggeris[4].

Jelas Sankara, keputusan Mahkamah Rayuan menolak kes Datuk Seri Anwar itu memberi
gambaran sebagai berat sebelah. Sepatutnya Mahkamah Rayuan tidak terus menolak kertas
prosiding ini terlebih dulu tanpa memberi peluang kepada pihak perayu mengemukakan semula
kertas prosiding ini dalam Bahasa Melayu.

Ketidakadilan keputusan yang disuarakan oleh Sankara itu disokong oleh Karpal Singh yang
juga rakan pembantu beliau dalam kes tersebut. Karpal Singh turut menyarankan kerajaan
menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua negara. Walaupun Akta Bahasa
Kebangsaan mengkehendaki penyerahan dokumen mahkamah dilakukan dalam Bahasa Melayu
tetapi keperluan itu tidak perlu dibuat hingga menjejaskan proses keadilan kerana menolak kes
tersebut atas sebab-sebab teknikal yang hanya membabitkan penggunaan Bahasa Inggeris saja.
Menurut Karpal lagi, matlamat sesuatu perbicaraan itu perlulah bertujuan untuk memastikan
keadilan itu tercapai bukannya memberi penekanan yang lebih berat atas sebab-sebab teknikal[5].

Sebelum ini Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sering digunakan di mahkamah tanpa
menimbulkan sebarang masalah. Namun sejak tahun 2002, beberapa pindaan telah dibuat keatas
kaedah-kaedah mahkamah dimana jika terdapat kesilapan-kesilapan teknikal dan prosedur yang
tidak mendatangkan mudarat atau menjejaskan mana-mana pihak, mahkamah tidak perlu
menolak kes-kes yang terbabit. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan
Majlis Peguam Malaysia, Edmund Bon Tai Soon, walaupun menjadi kesalahan memfailkan
dokumen-dokumen dalam Bahasa Inggeris di mahkamah-mahkamah di Semenanjung, tetapi
mahkamah perlu juga mengambil kira tentang maksud pindaan peraturan tersebut yang tidak
memerlukan kes itu ditolak semata-mata kerana kesilapan teknikal[6].

Setiausaha Majlis Jaksa Pendamai Sabah, Datuk Lawrence Thien, pula berkata kedudukan negeri
Sabah dan Sarawak berbeza dengan di Semenanjung kerana kedua-dua negeri ini tidak
memerlukan dokumen mahkamah difailkan dalam Bahasa Kebangsaan. Di Sabah dan Sarawak
dokumen-dokemen mahkamah masih perlu difailkan dalam Bahasa Inggeris dan dokumen
terjemahan dalam Bahasa Melayu pula boleh disertakan sebagai dokumen tambahan seperti
mana yang dikehendaki dalam kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan
Mahkamah Persekutuan.

Oleh itu keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Datuk Anwar itu tidak memberi apa-apa kesan
terhadap kes-kes dari Sabah dan Sarawak. Dibawah Kaedah 102, Kaedah-Kaedah Mahkamah
Rayuan tentang keengganan mematuhi mana-mana kaedah mahkamah (termasuk Kaedah 101
yang memerlukan dokumen mahkamah dibuat dalam Bahasa Kebangsaan) seharusnya tidak
mengakibatkan prosiding mahkamah menjadi tidak sah. Keputusan Mahkamah Rayuan dalam
kes Datuk Seri Anwar itu dilihat sebagai contoh keputusan yang mendatangkan kesulitan dan
ketidakadilan akibat tafsiran yang terlalu sempit dalam mematuhi kaedah-kaedah yang
ditetapkan oleh mahkamah itu[7].

Walau bagaimanapun masih terdapat kelonggaran tertentu yang boleh membenarkan mahkamah
memberi laluan penggunaan Bahasa Inggeris ini. Kelonggaran inilah yang menyumbangkan
ketidakseragaman dalam perlaksanaan penggunaan Bahasa Melayu sekali gus membawa
keputusan yang bercanggah seperti mana yang diputuskan dalam kes Datuk Seri Anwar
berbanding dengan kes Big Scope ini. Percanggahan seperti ini dilihat boleh menjejaskan
keadilan bagi pihak-pihak yang terbabit. Ini juga mendorong ramai pihak menyalahkan pihak
kehakiman kerana dikatakan tidak menggunakan budi bicara mereka dengan tegas untuk
memastikan penggunaan Bahasa Melayu itu diutamakan.

Disamping itu mereka masih juga dipersalahkan jika tidak memberi kelonggaran penggunaan
dalam Bahasa Inggeris untuk memastikan keadilan kepada semua pihak tidak dinafikan.

Ada juga yang menyalahkan pihak peguam kerana lebih gemar atau sengaja memilih Bahasa
Inggeris atas sebab kelonggaran yang dibenarkan itu atau atas motif tertentu. Peguam-peguam ini
sebenarnya mampu menguasai dan menggunakan Bahasa Melayu dengan baik walaupun tidak
sebaik penggunaan dalam Bahasa Inggeris. Ada juga yang menyalahkan kerajaan kerana terlalu
lembab dalam menyeragamkan peraturan berkaitan penggunaan Bahasa Melayu dilaksanakan
sepenuhnya dalam semua peringkat mahkamah sedangkan tempoh peralihan perlaksanaan ke
Bahasa Melayu selepas sepuluh tahun dari hari merdeka sudah lama berlalu.

Tidak kurang juga ada yang menyalahkan sistem pendidikan undang-undang itu sendiri termasuk
ahli-ahli akademik yang nampaknya lebih gemar menyediakan bahan-bahan rujukan
perundangan dalam Bahasa Inggeris dengan harapan mendapat pasaran yang lebih meluas.
Setiap pihak yang terlibat dalam memartabatkan Bahasa Melayu ini masing-masing mempunyai
alasan tersendiri hingga menyebabkan perlaksanaan penggunaan Bahasa Melayu secara
menyeluruh dan teratur menjadi lembab.

Persoalannya sekarang, ketahap manakah penggunaan Bahasa Melayu itu hendak dicapai dan
bagaimanakah kejayaan penggunaan Bahasa Melayu disektor perundangan ini boleh diukur jika
penggunaan bahasa ini masih belum dapat diseragamkan disemua peringkat, sama ada
diperingkat awam mahu pun diperingkat akademik. Dibahagian manakah penggunaan Bahasa
Melayu itu harus diutamakan, adakah penggunaannya hanya tertumpu ketika menjalankan
prosiding mahkamah atau lebih mengutamakannya dalam pendokumentasian perundangan?
Persoalan yang tidak kurang pentingnya adalah tentang sumber perundangan manakah yang
perlu diperluas dan dipertingkatkan dalam Bahasa Melayu supaya ianya dapat memenuhi
permintaan pengamal undang-undang yang kini masih lagi menghadapi kesulitan dan kesukaran
bagi mendapat kepelbagian sumber rujukan perundangan dalam Bahasa Melayu?

Walau bagaimanapun kejayaan perlaksanaan penggunaan Bahasa Melayu itu boleh diukur dan
dinilai keberkesanannya melalui penggunaannya dalam dua bahagian undang-undang yang
dinamakan undang-undang bertulis (written law) dan undang-undang tidak bertulis (unwritten
law). Apa yang dimaksudkan dengan undang-undang bertulis itu adalah undang-undang yang
digubal oleh badan pembuat undang-undang seperti dewan perundangan termasuk pihak
eksekutif. Undang-undang yang digubal itu pula kemudiannya akan diwartakan sebelum
dikuatkuasakan seperti akta-akta dan perundangan subsidiari. Manakala undang-undang tidak
bertulis (unwritten law) pula adalah undang-undang yang dibuat oleh hakim melalui
penghakiman mereka yang lazimnya akan dilaporkan dalam laporan undang-undang (law
reports[8]). Undang-undang tidak bertulis ini juga dikenali sebagai undang-undang kes.

Masalah penggunaan dwi-bahasa perundangan

Masih terdapat dokumen-dokumen perundangan utama Malaysia yang menggunakan Bahasa


Inggeris sebagai naskah sahih, misalnya naskah sahih Perlembagaan Persekutuan itu adalah
Bahasa Inggeris. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67[9] pula menyebut bahawa bermula dari 1
September 1967 naskah Bahasa Inggeris bagi undang-undang yang baru digubal tidak lagi
dijadikan sebagai naskah sahih sebaliknya digantikan dengan naskah Bahasa Melayu sebagai
naskah sahih, namun penggunaan kedua-dua bahasa ini masih diwajibkan dalam semua
pengwartaan rang undang-undang, akta, enakmen dan perundangan subsidiari.

Walaupun telah disebut bahawa naskah Bahasa Kebangsaan itu akan dijadikan teks sahih
bermula 1 September 1967, namun masih banyak lagi akta-akta yang digubal sebelum 1
September 1967 yang masih kekal dalam naskah asal berbahasa Inggeris dan menunggu giliran
untuk diterjemahkan kedalam Bahasa Melayu sebagai naskah sahih yang baru, selagi akta-akta
ini tidak diterjemahkan, selagi itulah naskah Inggeris itu akan terus dijadikan sebagai naskah
sahih.

Ini bererti bahawa Bahasa Inggeris masih perlu digunakan di mahkamah terutama apabila kes-
kes yang melibatkan akta-akta yang naskah sahihnya berbahasa Inggeris itu dibangkitkan di
mahkamah. Begitu juga dengan perundangan subsidiari, jika ianya diperbuat dan dikeluarkan
dibawah Akta, Ordinan dan Enakman yang dikanunkan sebelum 1 September 1967, teks Bahasa
Inggeris perundangan subsidiari ini masih kekal dijadikan sebagai naskah sahih seperti mana
yang disebut dalam Pemberitahu Undang-Undang, P.U. 32/1968.

Notis awal mengenai penggunaan Bahasa Melayu yang bakal dilaksanakan dalam mahkamah di
negara ini sudah mula disebut didalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuaan 1957, dalam
peruntukan sementara Fasal (4) dan (5)[10] dimana Bahasa Inggeris masih lagi dibenarkan
penggunaannya buat sementara waktu selama sepuluh tahun dari tarikh hari merdeka 31 Ogos
1957 dikedua-dua peringkat mahkamah tinggi dan mahkamah rendah.
Seksyen 8, Akta Bahasa Kebangsaan 1967[11] akhirnya diperkenalkan dengan tujuan untuk
menggantikan peruntukan sementara Fasal (4) dan (5) ini, namun peruntukan ini masih memberi
kelonggaran kepada penggunaan Bahasa Inggeris di mahkamah. Mahkamah mempunyai budi
bicara untuk membenarkan salah satu Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris digunakan bagi
keseluruhan prosiding, pilihan yang diberi itu nampaknya ia tidak memihak kepada Bahasa
Melayu dan sekali gus langsung tidak membantu usaha-usaha memartabatkan penggunaan
Bahasa Melayu di mahkamah. kecuali dalam kes terbaru Datuk Seri Anwar Ibrahim dimana
Mahkamah Rayuan menunjukkan ketegasan penggunaan Bahasa Melayu dengan menganggap
kes tersebut sebagai cacat, tidak sah dan mencabuli proses mahkamah kerana menggunakan
Bahasa Inggeris.

Pelaksanaan penggunaan Bahasa Melayu ini sebenarnya telah lama diperbetulkan melalui Akta
A765 Akta Bahasa Kebangsaan (Pindaan) 1990 yang berkuatkuasa pada 1 Jun 1990 bertujuan
untuk memantapkan lagi penggunaan Bahasa Melayu di mahkamah. Peruntukan yang dipinda
kini cuma membenarkan Bahasa Inggeris digunakan dalam keadaan tertentu saja, namun
peruntukkan ini masih juga tidak menghalang penggunaan Bahasa Inggeris sama sekali dalam
mahkamah di negara ini terutama diperingkat mahkamah tinggi keatas.

Usaha mendaulatkan Bahasa Melayu

Bagi mengisi kekurangan sumber perundangan dalam Bahasa Melayu ini, usaha-usaha mengenal
pasti kelompongan sumber perundangan dalam Bahasa Melayu perlu dipertingkatkan mengikut
kepentingan dan keperluan amalan perundangan di negara ini. Dua jabatan utama kerajaan iaitu
Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Kehakiman telah diberi tanggungjawab untuk memperkasa
dan melestarikan Bahasa Melayu dalam bidang perundangan dan kehakiman ini. Penglibatan
kedua-dua jabatan ini sebenarnya dapat membantu perlaksanaan penggunaan Bahasa Melayu
dengan lebih berkesan disamping dapat mempercepatkan lagi kekayaan sumber undang-undang
bertulis dan undang-undang tidak bertulis dalam Bahasa Melayu bagi memenuhi keperluan dan
permintaan pengamal undang-undang di negara ini.

Satu unit khas yang dipanggil "Unit Penterjemahan" telah ditubuhkan pada 1 April 1964 oleh
Jabatan Peguam Negara. Pada mulanya Unit ini diberi tanggungjawab untuk menterjemahkan
borang-borang berkanun, semua perundangan utama dan perundangan subsidiari yang digubal
selepas Akta Bahasa Kebangsaan ini diluluskan pada tahun 1963 dan sekali lagi disemak dan
diluluskan selepas tempuh penangguhan penggunaan Bahasa Kebangsaan itu tamat dan
dikuatkuasakan pada 1 September 1967 untuk diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.
Disamping itu, Unit ini juga menterjemahkan undang-undang yang sedia ada, perjanjian
antarabangsa dan lain-lain dokumen perundangan yang dianggap perlu diterjemahkan ke dalam
Bahasa Melayu.

Pada tahun 1979 Unit Penterjemahan ini ditukarkan namanya dengan nama Seksyen Bahasa
Kebangsaan, Bahagian Gubalan. Fokus utama Seksyen ini ialah untuk merealisasikan
peruntukkan Seksyen 6 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67[12] yang mengkehendaki semua rang
undang-undang dan perundangan subsidiari digubal dengan menggunakan Bahasa Inggeris dan
Bahasa Melayu dilakukan secara serentak.
Sekysen Bahasa Kebangsaan kemudiannya dipecahkan kepada dua Unit iaitu Unit A dan Unit B
bagi mengasingkan tugas antara mengubal dan menterjemah undang-undang. Unit A
menumpukan usaha-usaha dalam menggubal rang undang-undang dan perundangan subsidiari
yang baru dibuat selepas 1 September 1967 dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu secara
serentak, manakala Unit B pula menumpukan usaha-usaha dalam menterjemahkan semua akta-
akta lama yang digubal dalam Bahasa Inggeris sebelum 1 September 1967 ke dalam Bahasa
Melayu.

Bagi tujuan mencari maksud yang tepat dalam sesuatu istilah perundangan itu, satu jawatankuasa
khas yang dinamakan Jawatankuasa Istilah telah ditubuhkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka
pada 5 Disember 1965 yang disertai oleh ahli-ahli akademik, ahli-ahli bahasa dan peguam-
peguam, termasuk dari Jabatan Peguam Negara. Senarai istilah undang-undang pertama hasil
dari usaha jawatankuasa ini telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1970.

Jawatankuasa ini telah dinaikkan taraf menjadi Jawatankuasa Istilah Undang-Undang


Jawatankuasa Tetap Bahasa Malaysia (JKTBM). Edisi semakan istilah undang-undang telah
dihasilkan dari Jawatankuasa ini dan diterbitkan pada tahun 1985. Selain dari Jawatankuasa ini,
satu lagi jawatankuasa istilah ditubuhkan dibawah Bahagian Gubalan Jabatan Peguam Negara
pada 3 September 1981 yang dinamakan Jawatankuasa Istilah Seksyen Bahasa Kebangsaan
(JKISBK). Fungsi utama JKISBK ialah untuk memutakmatkan istilah-istilah yang diragui
ketepatan maksudnya untuk penggunaan dalam teks perundangan.

Jabatan kehakiman juga mempunyai peranan yang hampir sama seperti Jabatan Peguam Negara
dalam memastikan perlaksaan penggunaan Bahasa Melayu berjalan lancar dalam bidang
kehakiman. Penggunan Bahasa Melayu dalam mahkamah secara lisan merangkumi
penggunaannya dalam prosiding mahkamah (proceedings), pertuduhan (charge), sebutan
(mention), keterangan saksi-saksi, hujah-hujah dan alasan keputusan secara lisan. Manakala
penggunaannya secara tulisan pula meliputi surat-menyurat, notis-notis amalan, pekeliling
kehakiman, penyata-penyata rayuan (records of appeal), pengistiharan persidangan dan
penghakiman bertulis (written judgments) yang juga dikenali sebagai undang-undang tidak
bertulis atau undang-undang kes.

Sejak berakhirnya tempoh peralihan penggunaan Bahasa Inggeris selepas sepuluh tahun dari
tarikh merdeka bermula pada 1 September 1967 itu, surat pekeliling pertama[13] mengenai arahan
penggunaan Bahasa Melayu di mahkamah mula diedarkan kepada semua Presiden Mahkamah
Sesyen (kini dinamakan Hakim Mahkamah Sesyen) dan Majistret telah dikeluarkan pada 20
November 1969. Arahan penggunaan Bahasa Melayu ini kemudian diperluaskan lagi kepada
semua peringkat mahkamah pada 21 September 1981[14] mengarahkan seluruh urusan mahkamah
dan surat menyurat dari Jabatan Kehakiman hendaklah menggunakan Bahasa Melayu.

Hasil perlaksaan penggunaan Bahasa Melayu didalam mahkamah dapat dinilai melalui
banyaknya penghakiman yang ditulis dalam Bahasa Melayu. Biro Terjemahan Mahkamah
Agong telah ditubuhkan dalam bulan Ogos 1984 untuk menterjemahkan sebeberapa banyak
alasan penghakiman Mahkamah Agong sebagai menandakan bermulanya era penggunaan
Bahasa Melayu dalam undang-undang tidak bertulis. Penghakiman Bahasa Melayu turut
dilaporkan secara dwi-bahasa didalam siri-siri utama laporan undang-undang Malayan Law
Journal (MLJ) dan Current Law Journal (CLJ).

Biro ini kemudiannya telah ditukar nama kepada nama baru iaitu Bahagian Penyelidikan dan
Sekretariat Bahasa Melayu Mahkamah Agong (BPSBMA) sejajar dengan peranannya yang lebih
agresif dan menyeluruh. Beberapa nota-nota amalan[15] dan Pekeliling Hakim Besar[16] telah
menyusul mengarahkan mahkamah menyelaraskan penggunaan Bahasa Melayu di mahkamah
termasuk memberi "alasan penghakiman" dalam Bahasa Melayu.

Satu lagi lagi jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Penggunaan Bahasa Malaysia di
Mahkamah (JPPBMM) telah ditubuhkan pada 15 Mac 1988 bertujuan untuk membuat
perancangan bersepadu dan bersistematik supaya penggunaan Bahasa Melayu di mahkamah
dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya. Usaha sama diantara Dewan Bahasa dan Pustaka,
Bahagian Penyelidikan dan Sekretariat Bahasa Melayu Mahkamah Agong (BPSBMA) dan
Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia telah berjaya menerbitkan sebuah jurnal undang-
undang pertama dalam Bahasa Melayu pada 4 Disember 1989 yang dipanggil Jurnal Kanun
yang turut melaporkan penghakiman Mahkamah Agong yang ditulis dalam Bahasa Melayu.
Berbagai lagi usaha telah dijalankan oleh Bahagian Penyelidikan dan Sekretariat Bahasa Melayu
Mahkamah Agong bagi memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu termasuk mengadakan kelas
Bahasa Melayu serta memperkenalkan dan memperbaiki lagi istilah-istilah Bahasa Melayu yang
lazim digunakan di mahkamah.

Kelebihan penggunaan dwi-bahasa perundangan

Amalan penggunaan dwi-bahasa dalam teks undang-undang negara sebenarnya memberi


kelebihan kepada negara ini berbanding dengan beberapa negara jiran lain seperti Thailand dan
Indonesia yang baru saja mula menterjemahkan undang-undang mereka kedalam Bahasa
Inggeris terutama undang-undang yang berkaitan dengan perdagangan. Mereka menyedari
bahawa undang-undang negara mereka bukan saja dirujuk untuk kegunaan dalam negeri tetapi
juga oleh pelabur-pelabur asing yang ingin mengetahui kedudukan undang-undang negara
mereka sebelum membuat sebarang keputusan mengenai pelaburan atau perdagangan mereka.

Jika Malaysia mengubah dasar dwi-bahasa perundangan seperti mana yang diamalkan sekarang
dengan memansuhkan penggunaan Bahasa Inggeris, itu bermakna Malaysia memberi laluan
kepada negara-negara jiran mendahului negara ini dalam penguasaan Bahasa Inggeris dalam
bidang perundangan ini. Walaupun satu ketika dulu mereka hanya menggunakan Bahasa
Kebangsaan mereka sebagai bahasa perundangan tetapi kini mereka juga mula menterjemah teks
undang-undang mereka ke dalam Bahasa Inggeris supaya undang-undang mereka menjadi lebih
tulus dan mudah difahami oleh masyarakat antarabangsa.

Tambahan pula dengan adanya Piagam ASEAN yang menyediakan rangka perundangan baru
bagi negara-negara anggota ASEAN, Bahasa Inggeris telah dijadikan sebagai "bahasa kerja"
(working language) seperti mana yang termaktub dalam Perkara 34, Piagam ASEAN[17].
Pemilihan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perundangan ASEAN ini akan menjurus kepada
penyeragaman bahasa undang-undang dalam bidang tertentu dikalangan negara-negara anggota
bagi memenuhi aspirasi ASEAN yang ingin dilihat sebagai sebuah entiti serantau yang
mempunyai personaliti perundangannya sendiri. Sudah tentu negara-negara seperti Malaysia,
Singapura dan Filipina dilihat mempunyai kelebihan dari segi penguasaan Bahasa Inggeris ini
kerana penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perundangan sudah tidak asing lagi di
negara-negara berkenaan.

Kesimpulan

Penggunaan kedua-dua Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dalam bidang perundangan dan
kehakiman ini perlu dilihat sebagai pelengkap antara satu dengan yang lain. Penggunaan Bahasa
Inggeris itu pula tidak pernah bermaksud untuk menjejaskan kedudukan Bahasa Melayu sebagai
Bahasa Kebangsaan. Kedudukan Bahasa Inggeris sebagai salah satu bahasa perundangan di
negara ini sememangnya tidak pernah dicabar oleh mana-mana undang-undang termasuk
Perlembagaan Persekutuan mahu pun Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 itu sendiri. Malahan
Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 sendiri tidak melarang penggunaan Bahasa Inggeris oleh
badan-badan pembuat undang-undang di negara ini, sama ada Parlimen atau mahkamah
menggunakannya walaupun penggunaannya itu perlu dilakukan secara bersyarat.

Walau bagaimanapun, untuk memantapkan lagi penggunaan Bahasa Melayu dalam bidang
perundangan dan kehakiman ini, kita perlu meningkatkan lagi penggunaan Bahasa Melayu dalam
bidang perundangan dan kehakiman supaya semua sumber perundangan dalam Bahasa Melayu
sama ada sumber perundangan utama, sumber perundangan sekunder, perundangan utama,
perundangan subsidiari dan juga pengunaannya dalam undang-undang bertulis dan undang-
undang tidak bertulis dapat diperkaya dan dilestarikan lagi.

Sesungguhnya usaha-usaha untuk memartabat dan melestarikan penggunaan Bahasa Melayu


dalam bidang perundangan dan kehakiman ini perlu diteruskan sepanjang masa kerana ruang
untuk memperbaikinya sentiasa terbuka. Disamping itu kita juga perlu menerima hakikat bahawa
Bahasa Inggeris masih perlu digunakan dalam sistem perundangan kita tetapi tidaklah sampai
boleh menjejaskan kedudukan dan martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa perundangan yang
terunggul di negara ini.

Rujukan

Pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan dalam bidang perundangan, oleh Bahagian Gubalan,
Jabatan Peguam Negara, Bab 1, Bahasa dan Undang-Undang. Nik Safiah dan Faiza Tamby Chik,
Kuala Lumpur, Dewan Bahasa & Pustaka, 1994 ms 3 hingga 11.

Bahasa Melayu dalam bidang undang-undang: Perspektif penggunaannya di mahkamah,


oleh Faiza Tamby Chik, Hakim Mahkamah Tinggi, Seremban, Bab 2, Bahasa dan Undang-
Undang. Nik Safiah dan Faiza Tamby Chik, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa & Pusataka, 1994 ms
43 hingga 64.

Peranan Bahagian Penyelidikan dan Sekretariat Bahasa Mahkamah Agung dalam usaha
meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang kehakiman, oleh Wan Adnan
Muhamad, Pengarah, Biro Bantuan Guaman, Bab 7, Bahasa dan Undang-Undang. Nik Safiah
dan Faiza Tamby Chik, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa & Pustaka, 1994 ms 125 hingga 147.
Kes Big Skop Buktikan Mahkamah Rayuan Berat Sebelah- (Harakahdaily - 22-12-2009)

http://harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=23815:kes-big-
skop-buktikan-mahkamah-rayuan-berat-sebelah&catid=1:utama&Itemid=50

English should not render proceedings void - (The Sun- 15-12-2009)

http://www.malaysianbar.org.my/legal/general_news/english_should_not_render_proceedings_v
oid.html

Court documents must be in English in Sabah and Sarawak (The Star -11-12-2009)

http://thestaronline.com/news/story.asp?file=/2009/12/11/nation/20091211211209&sec=nation

Karpal wants English as country's second language - (Malaysia Insider - 10-12-2009)

http://www.themalaysianinsider.com/index.php/malaysia/46093-karpal-wants-english-as-
countrys-second-language-nd-language-

Isu penggunaan bahasa: Mahkamah Rayuan tolak kes Anwar(9-12-2009 - Free Malaysia
Today)

http://freemalaysiatoday.com/bahasa/?p=1104

Tidak perlu bahasa rasmi kedua (Utusan - 12-12-2009)

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?
y=2009&dt=1212&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm&arc=hive

80 Peratus Peguam Guna Bahasa Melayu Di Mahkamah (Bernama - 5-07-2009)

http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=422745

Bahasa Melayu Dalam Mahkamah (Utusan - 7-12-2008)

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?
y=2008&dt=1207&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm&arc=hive

Kotakan Janji Bahasa Melayu di Mahkamah (Utusan - 9-12-2008)

http://panduan.org/content/kotakan-janji-bahasa-melayu-di-mahkamah

Lucut keistimewaan peguam tidak fasih Bahasa Melayu (Utusan - 10-12-2008)

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?
y=2008&dt=1210&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_15.htm&arc=hive
Memartabat Bahasa Melayu Di Mahkamah Oleh Zainul Rijal Abu Bakar (Berita Harian -
17-12-2008)

http://peguamsyarie.org/?p=370

Guna sepenuhnya BM di mahkamah (Utusan - 17-12-2008)

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?
y=2008&dt=1217&pub=utusan_malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_11.htm&arc=hive

DBP perlu kuasa - Ambil tindakan undang-undang pihak perlekeh Bahasa Melayu - Oleh
Zabry Mohamad (Mingguan Malaysia - 5-3-2006)

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?
y=2006&dt=0305&pub=utusan_malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm&arc=hive

[1]
"80 Peratus Peguam Guna Bahasa Melayu Di Mahkamah" (Bernama - 5-07-2009)
http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=422745
[2]
"Bahasa Melayu Dalam Mahkamah" (Utusan - 7-12-2008)
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?
y=2008&dt=1207&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm&arc=hive
[3]
"Isu penggunaan bahasa: Mahkamah Rayuan tolak kes Anwar" (9-12-2009 - Free
Malaysia Today) http://freemalaysiatoday.com/bahasa/?p=1104
[4]
"Kes Big Skop Buktikan Mahkamah Rayuan Berat Sebelah"- (Harakahdaily - 22-12-
2009) http://harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=23815:kes-
big-skop-buktikan-mahkamah-rayuan-berat-sebelah&catid=1:utama&Itemid=50
[5]
"Karpal wants English as country's second language" - (Malaysia Insider - 10-12-2009)
http://www.themalaysianinsider.com/index.php/malaysia/46093-karpal-wants-english-as-
countrys-second-language-nd-language-
[6]
"English should not render proceedings void" - (The Sun - 15-12-2009)
http://www.malaysianbar.org.my/legal/general_news/english_should_not_render_proceedings_v
oid.html
[7]
"Court documents must be in English in Sabah and Sarawak" (The Star - 11-12-2009)
http://thestaronline.com/news/story.asp?file=/2009/12/11/nation/20091211211209&sec=nation
[8]
Contoh laporan Undang-Undang seperti Malayan Law Journal (MLJ), Current Law Journal
(CLJ) dan All Malaysia Reports (AMR).
[9]
Teks penuh Akta ini boleh didapati disini: http://www.agc.gov.my/agc/oth/Akta/Vol.
%201/Akta%2032.pdf
[10]
"Fasal (4) dan (5), Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan (4) Walau apapun Peruntukan
Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas daripada itu sehingga
selainnya diperuntukkan oleh Parlimen, segala perbicaraan dalam Mahkamah Agung atau
Mahkamah Tinggi hendaklah dijalankan dalam Bahasa Inggeris: Dengan syarat bahawa, jika
Mahkamah dan peguam bagi kedua-dua pihak bersetuju, keterangan yang diambil dalam bahasa
yang digunakan oleh saksi tidak payah diterjemah atau direkodkan dalam Bahasa Inggeris.(5)
Walau apapun peruntukkan Fasal (1), sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen, segala
perbicaraan dalam Mahkamah Rendah, lain daripada mengambil keterangan, hendaklah
dijalankan dalam Bahasa Inggeris".
[11]
"Bahasa Mahkamah 8. Segala prosiding (selain pemberian keterangan oleh seseorang saksi)
dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau mana-mana
Mahkamah Rendah hendaklah dalam Bahasa Kebangsaan. Dengan syarat bahawa Mahkamah
boleh, sama ada atas kehendaknya sendiri atau permintaan mana-mana pihak dalam mana-mana
prosiding dan selepas menimbangkan kepentingan keadilan dalam prosiding itu, memerintahkan
supaya prosiding itu (selain pemberian keterangan oleh seseorang saksi) dijalankan dalam
Bahasa Inggeris."
[12]
"Teks sahih undang-undang 6. Teks - (a) bagi segala Rang Undang-Undang yang akan
dikemukakan atau pindaan kepadanya yang akan dicadangkan dalam Parlimen atau mana-mana
Dewan Undangan Negeri; (b) bagi segala Akta Parlimen dan segala perundangan subsidiari yang
dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan; (c) bagi segala Enakmen dan perundangan subsidiary
yang dikeluarkan oleh mana-mana Kerajaan Negeri; dan (d) bagi segala Ordinan yang
diistiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong, hendaklah dalam Bahasa Kebangsaan dan dalam
Bahasa Inggeris, dan teks dalam Bahasa Kebangsaan itu adalah sahih melainkan jika Yang
diPertuan Agong menetapkan sebaliknya sama ada secara am atau bagi mana-mana undang-
undang yang tertentu."
[13]
Surat Pekeliling No. 7, Tahun 1969 (20 November 169).
[14]
Pekeliling Pendaftar (U) Bil. 12 & 13 tahun 1981
[15]
9. (i) Nota Amalan (Penyelarasan Penggunaan Bahasa Malaysia) No. 1 Tahun 1988, bertarikh
11 Oktober 1988. (ii) Nota Amalan (Penyelarasan Penggunaan Bahasa Malaysia) No. 2 Tahun
1988, bertarikh 1 November 1988. (iii) Nota Amalan (Penyelarasan Penggunaan Bahasa
Malaysia) No. 3 Tahun 1988, bertarikh 3 Disember 1988. (iv) Nota Amalan (Penyelarasan
Penggunaan Bahasa Malaysia) No. 1 Tahun 1989, bertarikh 28 Januari 1989. (v) Nota Amalan
(Penyelarasan Penggunaan Bahasa Malaysia) No. 2 Tahun 1989, bertarikh 4 April 1989.
[16]
(i) Pekeliling Hakim Besar Malaya No. 2/1990 bertarikh 10 Mei 1990 bertajuk "Perlaksanaan
Pengunaan Bahasa Malaysia di Mahkamah". (ii) Arahan Amalan No. 2 Tahun 1990 bertarikh 31
Mei 1990 bertajuk "Prosiding Mendesak dan Prosiding Belum Selesai". (iii) Pekeliling Hakim
Besar Malaya No. 3 Tahun 1990 bertarikh 25 Jun 1990 bertajuk "Alasan Penghakiman dalam
Bahasa Malaysia".
[17]
Teks penuh Piagam ASEAN boleh didapati disini; http://www.aseansec.org/ASEAN-
Charter.pdf

Sumber CLJ Online: http://www.cljlaw.com/membersentry/articlesdisplayformat.asp?


A_2010_1_LNS_iv;2010

You might also like