You are on page 1of 9

HAK UNTUK MENGETAHUI UNDANG-UNDANG DAN MENDAPAT

MAKLUMAT PERUNDANGAN

Oleh

Shaikh Mohamed Noordin [1]

Also found at [2009] 1 LNS(A) i

MALAYSIA

Pengenalan

Tidak ramai dikalangan masyarakat awam di Malaysia hari ini menyedari tentang kewujudan
kebanyakan undang-undang di negara ini. Mungkin kerana tidak ada sebab tertentu dan tiada
dasar keterbukaan maklumat yang mendorong minat mereka untuk mengetahui undang-undang.
Pernah terjadi satu peristiwa dimana tiga orang peserta Melayu pertandingan ratu cantik di
Selangor ditangkap semata-mata kerana tidak tahu tentang adanya larangan bagi orang Islam
menyertai pertandingan ratu cantik di negeri tersebut [2].

Menurut pengamal undang-undang terkenal Inggeris John Selden (1584 - 1654), seseorang itu
tidak boleh terlepas daripada tindakan undang-undang semata-mata kerana tidak tahu tentang
kewujudan sesuatu undang-undang [3]. Hari ini undang-undang telah digubal dengan bahasa yang
lebih mudah untuk difahami oleh semua namun masih banyak maklumat perundangan yang tidak
sampai kepengetahuan awam walaupun undang-undang sudah dipermudahkan untuk kefahaman
mereka [4]. Mungkin juga penyebaran maklumat undang-undang itu sendiri masih tertumpu
kepada pengamal undang-undang dari menjadikan masyarakat awam sasaran utama yang
menyebabkan undang-undang itu dibuat.

Dalam masa yang sama, penerbit perundangan sama ada yang mewakili kerajaan atau dari pihak
swasta akan mengenakan caj untuk pengaksesan maklumat perundangan ini, namun Internet
telah memudahkan pengaksesan maklumat ini secara lebih terbuka. Laman web menjadi sumber
utama undang-undang boleh diperolehi secara percuma atau dengan kos yang minimum. Peluang
kemudahan teknologi maklumat yang ada sekarang perlu dimunafaatkan dengan baik supaya
maklumat yang membabitkan kepentingan awam dapat sampai kepengetahuan rakyat.

Perlu diingatkan bahawa tujuan utama undang-undang itu dibuat adalah untuk kegunaan
masyarakat awam bagi menjaga kepentingan mereka. Oleh sebab itu undang-undang perlulah
diklassifikasikan sebagai warisan intelek masyarakat yang harus disebar dan diakses tanpa
sebarang sekatan.

Dasar keterbukaan maklumat

Raja Muda Perak, DYTM Raja Dr Nazrin Shah pernah menyarankan tentang dasar keterbukaan
maklumat dalam sektor perkhidmatan awam bagi membolehkan kebebasan aliran maklumat
yang diperlukan rakyat, sekali gus memudahkan mereka memperoleh maklumat lengkap dan
terkini. Kerajaan yang mengamalkan sistem pentadbiran yang baik sentiasa mengutamakan
ketelusan, keterbukaan dan menggalakkan kesedaran dikalangan rakyat terutama tentang hak
mereka untuk mengetahui dan mendapat maklumat perundangan. [5].

Di Malaysia, maklumat perundangan bagaimana pun tidak pernah ditakrifkan sebagai maklumat
rahsia seperti dalam Akta Rahsia Rasmi 1972 [6], malah kerajaan bertanggungjawab memastikan
setiap undang-undang yang dibuat di Parlimen akan dibawa ke pengetahuan awam secara rasmi
melalui pemberitahuan Warta Kerajaan [7]. Penyiaran dan penyebaran maklumat perundangan ini
perlu dilaksanakan supaya hak rakyat untuk mengetahui undang-undang di negara ini terus
terjamin.

Sebagai pembuat utama undang-undang di negara ini, kerajaan diwajib mewartakan setiap
undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen seperti mana yang ditetapkan dibawah Perkara
66(5) Perlembagaan Persekutuan [8] dan Seksyen 18(2) Akta Tafsiran (Akta 388),1948 dan 1967
[9]
. Begitu juga dengan keputusan-keputusan mahkamah, terutamanya keputusan mahkamah-
mahkamah tertinggi perlu dilaporkan seawal mungkin supaya ia boleh dijadikan kes ikutan [10].

Sebelum Internet dicipta, undang-undang hanya diperolehi melalui bahan cetak, hari ini undang-
undang boleh disebarkan dengan lebih pantas dan meluas melalui Internet. Sebagai pembuat
undang-undang, kerajaan tidak memerlukan kebenaran dari mana-mana pihak untuk
menyebarkan undang-undang itu dalam laman-laman web kerajaan. Maklumat undang-undang
yang terdapat dipelbagai laman web kerajaan sekarang ini dimasukkan atas budi bicara agensi-
agensi yang berkenaan.

Memang tidak dinafikan terdapat berbagai jenis undang-undang didalam laman-laman web
tersebut terutama dari badan-badan pembuat undang-undang seperti badan perundangan
(Parlimen [11]), badan kehakiman (Mahkamah Persekutuan [12]) dan badan eksekutif (berbagai
kementerian [13]). Maklumat-maklumat itu termasuklah undang-undang dari sumber utama seperti
Akta dan undang-undang subsidiari, undang-undang persekutuan dan undang-undang negeri,
undang-undang sivil dan undang-undang syariah dan dari sumber sekunder seperti artikel
perundangan, namun kadar perolehan undang-undang tersebut tidak seragam bergantung kepada
budi bicara agensi yang menyalurkan maklumat tersebut.

Setakat ini belum ada arahan khusus yang dikeluarkan oleh MAMPU [14] yang mewajibkan
semua maklumat undang-undang yang berkaitan dengan sesebuah agensi itu dimasukkan
kedalam laman web kerajaan [15]. Oleh sebab itu tidak semua laman web kerajaan ini
mengandungi maklumat undang-undang walaupun agensi berkenaan mempunyai undang-undang
dibawah bidang kuasa mereka.

Namun apa yang lebih penting adalah bagaimana maklumat ini diurus untuk diakses kerana
maklumat yang tidak terurus dan bersepadu sama keadaannya seperti tidak mempunyai
maklumat itu sendiri. Keadaan ini akan menambahkan kesulitan untuk mendapatkan maklumat
tersebut hatta untuk mendapat undang-undang asas seperti Perlembagaan [16] negara sekali pun.

Isu hakcipta
Walau pun Sekyen 9(5) Akta Hakcipta 1987, Akta 332 [17] memberi kelonggaran dalam
penerbitan semula sesuatu maklumat bagi maksud tertentu, Malaysia masih belum mempunyai
dasar atau undang-undang khusus seperti Akta Kebebasan Maklumat yang dapat menjamin
keterbukaan maklumat untuk kegunaan awam. Dasar keterbukaan ini tidak hanya bermaksud
kesediaan kerajaan untuk menerima teguran tetapi juga bersedia untuk menyampaikan maklumat
secara bebas dan terbuka.

Undang-undang kebebasan maklumat perlu dibuat dengan memberi penekanan tentang


kepentingan maklumat tersebut kepada masyarakat awam disamping dapat mengatasi masalah
hakcipta yang masih dikuasai oleh pihak penerbit terhadap maklumat tersebut. Difahamkan satu
Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat [18] yang bertujuan untuk menggalakkan amalan
keterbukaan maklumat sedang diusahakan untuk dibentangkan di Parlimen sebagai rang undang-
undang persendirian.

Walau pun maklumat undang-undang dikategorikan sebagai maklumat awam, kerajaan masih
memegang kuasa hakcipta terhadap maklumat tersebut seperti mana yang diperuntukkan
dibawah Sekyen 11(1) Akta Hakcipta 1987 [19]. Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir pernah
menjelaskan ketika membentangkan Rang Undang-Undang Akta Rahsia Rasmi (pindaan) 1986
bahawa, "apabila undang-undang digubal oleh Parlimen, dan ini adalah hak Parlimen,
tujuannya jelas. Seseorang yang mungkin keliru boleh merujuk kepada ucapan anggota yang
memperkenalkan undang-undang kepada Parlimen dan perbahasan yang berlaku untuk
mengetahui maksud undang-undang berkenaan. Jika ini dibuat, tidak akan timbul kekeliruan di
pihak sesiapa dan keadilan akan wujud".[20]

Undang-undang yang digubal di Parlimen ini secara tradisinya dicetak oleh Jabatan Percetakan
Negara yang sekarang sudah dikenali sebagai Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) [21]
setelah jabatan itu diswastakan. Sebagai pencetak dan penerbit rasmi yang dilantik kerajaan,
PNMB turut berhak terhadap hakcipta bagi semua bahan penerbitan perundangan ini bagi pihak
kerajaan [22].

Begitu juga penghakiman atau keputusan mahkamah yang diterbitkan oleh beberapa penerbit
swasta, walaupun penghakiman itu dibuat oleh badan kehakiman, hakcipta penghakiman ini
telah dilindungi oleh pihak penerbit setelah penghakiman itu diterbitkan dalam laporan undang-
undang terbitan mereka, terutama dari segi penyusunan typograpi, nota kepala (headnote), kata-
kata penunjuk (catchword), citation dan lain-lain catatan sampingan (annotation).

Pencarian sesuatu kes itu akan menjadi rumit tanpa bantuan maklumat tambahan yang dibuat
oleh pihak penerbit. Walaupun pada asasnya masyarakat awam berhak mengetahui maklumat
perundangan ini namun penggunaan maklumat itu masih tertakluk dibawah bidangkuasa
hakcipta penerbit yang mendapat hak dari penerbitan mereka itu, sama ada dalam bentuk bahan
bercetak dan juga elektronik. Oleh itu pengguna perlu mematuhi peraturan hakcipta sekali pun
peraturan itu sedia memberikan beberapa kelonggaran dalam penggunaan maklumat tersebut.

Penubuhan institut maklumat perundangan negara


Satu gerakan yang dipanggil Gerakan Keterbukaan Pengaksesan Undang-Undang (Movement
for Open Access to Law) telah bermula seawal 90an di Amerika Syarikat. Tujuan utama gerakan
ini adalah untuk membuka pengaksesan maklumat perundangan kepada masyarakat awam secara
bebas dan percuma. Hasil dari usaha gerakan ini tertubuhnya sebuah badan bebas yang
dinamakan Institut Maklumat Perundangan (Legal Information Institute) yang pertama di
Amerika Syarikat pada tahun 1992. Kemudian disusuli pula beberapa buah lagi badan seumpama
itu dibeberapa buah negara lain yang turut dikenali dengan nama yang sama yang mewakili
negara masing-masing. Bagaimana pun Malaysia masih belum mempunyai badan seumpama itu
untuk membantu masyarakat awam di negara ini mendapat maklumat perundangan secara
sistematik dan percuma.

Sektor akademik di kebanyakan negara telah menjadi penggerak utama dalam menubuhkan
badan bebas seumpama itu kerana sektor ini mendapat pengecualian istimewa dibawah undang-
undang hakcipta terutama bagi tujuan penyelidikan dan pembelajaran.

Dua ciri-ciri yang paling ketara yang diamalkan oleh kesemua institusi maklumat perundangan
ini ialah, pertama, mereka menerbitkan lebih dari satu sumber maklumat dan tidak hanya terhad
kepada maklumat dari negara mereka saja. Kedua, mereka berkerjasama diantara satu dengan
yang lain melalui keanggotaan dalam Gerakan Keterbukaan Pengaksesan Undang-Undang.
Kebanyakan dari mereka, walaupun tidak semua berkongsi ciri ketiga iaitu bekerjasama dalam
perkongsian data atau portal dan soal teknikal untuk menjaga keselamatan dan perlindungan
maklumat. Sebagai anggota kepada Gerakan Keterbukaan Pengaksesan Undang-Undang ini,
mereka juga berpegang kepada prinsip-prinsip berikut [23]:

 Maklumat perundangan adalah warisan intelek yang menjadi hak milik semua
warganegara. Dengan memperluaskan pengaksesan maklumat perundangan ini, ianya
dapat menegakkan keadilan dan mendaulatkan keluhuran undang-undang di sesebuah
negara.
 Maklumat elektronik perundangan adalah harta digitan awam, seharusnya terbuka secara
percuma dan tidak hanya mementingkan soal keuntungan semata-mata.
 Pertubuhan-pertubuhan bukan komersial berhak mendapat kebenaran untuk menyalurkan
maklumat perundangan ini kepada masyarakat awam dan perlu dibantu dengan bekalan
maklumat secara langsung dari badan pembuat undang-undang itu sendiri.

Penutup

Keadilan tidak hanya akan tercapai dengan hanya mendidik masyarakat memahami undang-
undang tetapi juga menyediakan kemudahan mengakses maklumat undang-undang itu supaya
proses pendidikan akan berjalan dengan lebih lancar. Sama ada masyarakat awam mahu
memanfaatkan kemudahan pengaksesan itu atau tidak, tanggungjawab pihak yang berwajib
dalam menyediakan kemudahan itu akan terlaksana sekiranya tugas itu dapat disempurnakan
dengan baik. Dengan adanya kemudahan pengaksesan maklumat ini, masyarakat tidak lagi
mempunyai alasan untuk mengatakan tidak tahu tentang undang-undang jika maklumat undang-
undang itu sendiri sudah disediakan secara mudah dan percuma.
Proses pembelajaran termasuk mendidik masyarakat awam seharusnya dipelopori dan diterajui
oleh para akadamik dan cendiakawan yang mempunyai kepakaran dan pasarana dalam bidang
ini. Manakala pihak kerajaan pula perlu memastikan terdapat undang-undang yang menyokong
dasar keterbukaan maklumat agar pihak awam tidak melanggar mana-mana peraturan hakcipta
yang melindungi maklumat tersebut. Begitu juga dengan pihak swasta perlu menunaikan obligasi
mereka terhadap masyarakat dengan memberi bantuan dari segi dana dan penajaan dalam projek-
projek pendidikan kemasyarakatan.

Penubuhan satu Institut Maklumat Perundangan sebagai badan bebas yang menyokong dasar
keterbukaan maklumat undang-undang ini perlu diusaha dan dibangunkan secara bersama oleh
semua pihak yang terlibat seperti mana yang dilakukan di negara-negara yang telah berjaya
mengamalkan dasar keterbukaan maklumat tersebut. Hanya dengan komitmen dari banyak pihak,
merangkumi ahli akademik, agensi kerajaan, badan perundangan, badan-badan korprat mahu pun
orang perseorangan memungkinkan hasrat ini tercapai. Paling tidak, Malaysia hari ini
memerlukan satu portal undang-undang yang dapat menyatupadukan semua hyper-rangkai
maklumat undang-undang kedalam satu laman portal untuk rujukan dan kegunaan awam.

Masyarakat hari ini tidak perlu lagi ke perpustakaan untuk mencari undang-undang bila undang-
undang itu sudah boleh dicari dihujung jari. Undang-undang yang mudah diakses dapat menarik
minat pelabur asing untuk mengetahui status perundangan dan sekaligus mengundang pelaburan
mereka. Pelajar-pelajar juga berpeluang untuk mengakses lebih banyak maklumat perundangan
yang dapat memperkayakan lagi sumber rujukan mereka. Sekurang-kurangnya masyarakat awam
juga mempunyai peluang untuk mengetahui undang-undang dengan lebih mudah dan akan
menjadikan mereka anggota masyarakat yang celik dan menghormati undang-undang.

Rujukan

1. Graham Greenleaf, "Legal Information Institutes and the Free Access to Law Movement",
http://www.nyulawglobal.org/globalex/Legal_Information_Institutes.htm

2. Peter Suber, "What you can do to promote open access", The SPARC Open Access
Newsletter, http://www.earlham.edu/~peters/fos/do.htm

3. WorldLII, "Declaration on Free Access to Law", Montreal (2007).


http://www.worldlii.org/worldlii/declaration/

4. Daniela Tiscornia, "Free Access to Law Movement", Research Project, Institute of Legal
Information, http://www.ittig.cnr.it/Ricerca/UnitaEng.php?Id=75&T=E

5. Robert Richards, "Legal Information Systems & Legal Informatics Resources: Free Access to
Law / Legal Information Institutes (selected)", http://home.comcast.net/~richards1000/LIIs.html

6. Peruginelli Ginevra, "Free access to the law via Internet : a global vision ? Presentation of
the conclusions of the IXth international Conference "Law via the internet " in Florence (30 and
31 October 2008)", http://www.legalaccess.eu/spip.php?article46
7. Graham Greenleaf, Philip Chung and Andrew Mowbray, "Emerging Global Networks for
Free Access to Law: WorldLII's Strategies 2002-2005", [2007] UNSWLRS 16
http://austlii.law.uts.edu.au/au/journals/UNSWLRS/2007/16.html

8. Andrew Mowbray, Philip Chung and Graham Greenleaf, "Free-access case law enhancements
for Australian law", LawCite, http://lawcite.org/doc/Florence-Paper.rtf

9. Luigi Benetton, "Free vs. paid online legal research tools", The Lawyers Weekly, April 17
2009 http://www.lawyersweekly.ca/index.php?section=article&articleid=901

10. Claire M. Germain, "Legal Information Management in a Global and Digital Age:
Revolution and Tradition", LLRX, August 27, 2007,
http://www.llrx.com/features/legalinformationmanagement.htm

11. Graham Greenleaf , Philip Chung , Andrew Mowbray , "Challenges in Improving Access to
Asian Laws: the Asian Legal Information Institute", (AsianLII), [2007] UNSWLRS 42,
http://austlii.law.uts.edu.au/au/journals/UNSWLRS/2007/42.html

12. Daniel Poulin , "Open access to law in developing countries", First Monday, volume 9,
number 12 (December 2004),
http://outreach.lib.uic.edu/www/issues/issue9_12/poulin/index.html

13. Legltree, "Free access to electronic databases containing English case law",
http://www.legaltree.ca/node/501

14. Graham Greenleaf , Philip Chung , Andrew Mowbray, "Improving access to legislative
instruments",
http://www.ag.gov.au/www/agd/rwpattach.nsf/VAP/(371CAD123B18948FF076D2F02E9A217
C)~AustLII+submission+-+LIA+Review+-+16+May+2008.PDF/$file/AustLII+submission+-
+LIA+Review+-+16+May+2008.PDF

15. Richard A Danner, "Applying the Access Principle in Law: The Responsibilities of the
Scholar", International Journal of Legal Information, Volume 35.3,
http://eprints.law.duke.edu/1698/1/Danner,_35_Int'l_J._Legal_Info._355_(2007).pdf

Nota hujung
[1]
Penulis adalah seorang perunding perpustakaan undang-undang di firma guaman Tay &
Partners, Kuala Lumpur. Lain-lain artikel dari penulis: http://www.scribd.com/Shaikh
%20Moahamed%20Noordin
[2]
Status Miss Malaysia - "Mereka yang beragama Islam dilarang untuk menyertai pertandingan
ini berikutan fatwa pengharaman ratu cantik bagi mereka yang beragama Islam telah
diwartakan tahun 1997 selepas melalui prosedur perundangan yang teliti, termasuk dibaca tiga
kali di Dewan Undangan Negeri Selangor dan akhirnya diperkenan Sultan Selangor.":
http://wapedia.mobi/ms/Miss_Malaysia
[3]
John Selden (1584 - 1654) "Ignorance of the law excuses no man: Not that all men know the
law, but because 'tis an excuse every man will plead, and no man can tell how to refute him".
http://www.quotationspage.com/quotes/John_Selden/
[4]
Prinsip pengubalan undang-undang yang diamalkan oleh Jabatan Peguam Negara:
http://www.agc.gov.my/agc/index.php?option=com_content&view=article&id=227
[5]
Petikan dari laman blog DYTM Raja Dr Nazrin Shah :
http://rajanazrinshah.proboards52.com/index.cgi?
[6]
Teks penuh Akta Rahsia Rasmi 1972 di: http://www.agc.gov.my/agc/Akta/Vol.%202/Akta
%2088.pdf
[7]
Warta Kerajaan atau Government Gazette, "Publication in the official Gazette of Malaysia
shall constitute sufficient notice of any matter required to be published in the Gazette by or
under any federal law or required to be published in the Sabah Government Gazette or the
Sarawak Government Gazette by or under any enactment of those States which has been
declared to be a federal law."
[8]
Perkara 66(5), Perlembagaan Persekutuan: "Sesuatu Rang Undang-Undang hendaklah
menjadi undang-undang apabila diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong atau sebagaimana
yang diperuntukkan dalam Fasal (4A), tetapi tiada undang-undang boleh berkuat kuasa
sehingga undang-undang itu telah disiarkan, tanpa, walau bagaimanapun, menjejaskan kuasa
Parlimen untuk menangguhkan kuat kuasa mana-mana undang-undang atau untuk membuat
undang-undang yang berkuat kuasa ke belakang."
[9]
Seksyen 18(2), Akta Tafsiran (Akta 388),1948 and 1967,: "Siaran dalam warta rasmi
Persekutuaan hendaklah merupakan sebagai makluman yang mencukupi mengenai apa-apa
perkara yang dikehendaki untuk disiarkan dalam warta oleh atau dibawah mana-mana undang-
undang Persekutuan atau yang dikehendaki untuk disiarkan dalam warta kerajaan Sabah atau
warta kerajaan Sarawak oleh atau dibawah mana-mana enekmen negeri-negeri itu yang telah
diistiharkan sebagai menjadi undang-undang Persekutuan.":
http://www.agc.gov.my/agc/Akta/Vol.%208/Act%20388.pdf
[10]
Dalam penghakiman kes Sures A/L Perumal v Pendakwa Raya, [2001] 2 MLJ 106, Hakim VT
Singham memutuskan: "It has been said time and time again that 'justice hurried is justice
denied' and magistrates must take time to consider the charge and the facts and read the law
reports to keep abreast with the decision of the superior courts so that their decision will be in
accordance with the law and settled principles of law."
[11]
Rang Undang-Undang dan Akta boleh didapati di http://www.parlimen.gov.my/
[12]
Penghakiman Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan boleh
didapati di http://portal.kehakiman.gov.my/
[13]
Teks penuh Akta-Akta dari siri "Laws of Malaysia" boleh didapati di laman web Jabatan
Peguam Negara: http://www.agc.gov.my/agc/index.php
[14]
MAMPU - Malaysian Administrative Modernization and Management Planning Unit atau
Unit Pemodenan Tadbiran Perancangan Pengurusan Malaysia. http://www.mampu.gov.my/
[15]
Pekeliling Am Bil. 1 Tahun 2006 "Pengurusan Laman Web/Portal Sektor Awam di:
http://www.mampu.gov.my/mampu/pdf/pa012006.pdf
[16]
Perlembagaan Persekutuan Malaysia dengan catatan boleh didapati:
http://www.cpps.org.my/sub_page.aspx?catID=4&ddlID=195
[17]
Sekyen 9 (5), "The Government, the National Archives, or any State Archives, the National
Library, or any State library, or any public libraries and educational, scientific or professional
institutions as the Minister may by order prescribe, may reproduce the typographical
arrangement of a published edition without infringing the copyright subsisting by virtue of this
section if such reproduction is in the public interest and is compatible with fair dealing and the
provisions of any regulations". http://www.agc.gov.my/agc/Akta/Vol.%207/Act%20332.pdf
[18]
Teks penuh Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat 2008 boleh didapati di:
http://benarffm.files.wordpress.com/2008/05/huraian_kebebasan-maklumat.pdf
[19]
Sekyen 11(1), Akta Hakcipta 1987, " Hakcipta wujud bagi tiap-tiap karya yang layak
mendapat hakcipta dan yang dibuat oleh atau di bawah arahan atau kawalan Kerajaan dan
mana-mana pertubuhan Kerajaan atau badan antarabangsa sebagaimana yang ditetapkan oleh
Menteri melalui perintah.": http://www.parlimen.gov.my/pdf/a332.pdf
[20]
Teks ucapan Perdana Menteri membentangkan Rang Undang-Undang Akta Rahsia Rasmi
(Pindaan) 1986 boleh dilihat di: http://www.pmo.gov.my/ucapan/?m=p&p=mahathir&id=547
[21]
Catatan dari PNMB, "PNMB is the only printer appointed by the Government of Malaysia to
print the Laws of Malaysia, the Federal Government Gazettes and all the State Gazettes" boleh
dilihat di: http://www.printnasional.com.my/products/product_services_desc.asp?product_no=9
[22]
Kenyataan Hakcipta PNMB yang terdapat pada setiap naskah Warta Kerajaan: "Semua Hak
Terpelihara: Tiada mana-mana bahagian jua daripada penerbitan ini boleh diperolehi semula
atau disiarkan dalam sebarang bentuk dengan apa jua cara elektronik, mekanikal, fotokopi,
rakaman dan atau sebaliknya tanpa mendapat izin daripada Percetakan Nasional Malaysia
Berhad [Pencetak kepada kerajaan Malaysia yang dilantik]"
[23]
Deklarasi yang dibuat di Montreal, Canada, "Declaration on Free Access to Law":
http://www.worldlii.org/worldlii/declaration/

Also available at CLJ Legal Network:


http://www.cljlaw.com/membersentry/ArticleBrowseYearResult.asp?a=AUTHOR;Shaikh-
Mohamed-Noordin-i

You might also like